Pameran Seni Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau 2011 (ARTEX’11) kali pertama telah diadakan pada 6 April 2011 di KKTM Rembau. Pameran ini dapat membuka peluang kepada pelajar-pelajarnya untuk menonjolkan karya mereka sepanjang menuntut di kolej berkenaan dan secara tidak langsung memberi pendedahan bermakna dengan realiti pasaran pekerjaan. 

 

Pameran seni ini dibahagikan kepada 5 kategori yang mewakili 5 kursus yang ditawarkan di KKTM iaitu Reka Bentuk Media Digital, Filem dan Animasi Digital, Reka Bentuk Fesyen, Reka Bentuk Dalaman dan Reka Bentuk Perabot. Pameran ini juga melibatkan lebih 500 karya pelajar KKTM dari semester 1, 2, 4 dan akan dinilai setiap kali penghujung semester. Antara yang dipamerkan ialah rekaan perabot, baju, filem pendek, pelbagai jenis lukisan dan pakaian, mengikut kursus masing-masing.

 

Turut diadakan pertandingan lukisan bagi mencungkil bakat-bakat seni dikalangan pelajar-pelajar KKTM selain mewujudkan satu persaingan sihat antara mereka. Muhammad Aizudin Mazlan muncul sebagai johan dan pemenang kedua dimenangi oleh Mohd Hafiz Mohd Hasbullah. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Zainudin Mohd Nazri.